Menari Lagu GST : Penduduk Tidak Tahu Menahu, Pengunjung Orang Luar

Posted by Kerah Lekung on Monday 26 March 2018

Menari Lagu GST : Penduduk Tidak Tahu Menahu, Pengunjung Orang Luar.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mesti ada muslihat tertentu dalam kontroversi program beliau menari lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sebuah pangsapuri di Georgetown baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan orang ramai. Beliau takkan berani melibatkan penduduk pangsapuri berkenaan kerana beliau tahu penduduk akan marah.

Penduduk Pangsapuri Idaman 2, Jelutong hari ini bersuara menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

Sejak seminggu, penduduk pangsapuri itu dikecam, dikutuk serta dikritik kerana membenarkan Guan Eng menyanyikan lagu berkenaan yang anti kerajaan bersama sekumpulan murid-murid. Video itu jadi viral selepas dimuatnaik sebuah portal akhbar bahasa Cina. Ia berlaku dalam program pelancaran kelas tuisyen percuma yang diadakan di pangsapuri berkenaan.

Menurut wakil penduduk pangsapuri itu, Arshad Kassim, majoriti mereka tidak mengetahui mengenai majlis pelancaran tersebut meskipun diadakan di dewan orang ramai pangsapuri berkenaan.

Malah, dakwanya, majoriti peserta pada program itu termasuk kanak-kanak juga bukan penduduk pangsapuri berkenaan sebaliknya orang luar yang hadir menaiki sebuah bas disewa khas.

“Penduduk di sini berasa kecewa kerana kami langsung tidak dimaklumkan mengenai program itu meskipun diadakan di pangsapuri kami dan dengan penglibatan pihak pengurusan di sini.

“Tetapi apabila tercetusnya kontroversi seperti hari ini, kami penduduk di sini yang mendapat nama buruk dan menanggung malu kerana ditohmah masyarakat,” katanya kepada pemberita di sekitar kawasan pangsapuri mereka, hari ini.

Guan Eng sebelum ini mencetuskan kemarahan banyak pihak selepas videonya menyanyikan lagu anti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama sekumpulan kanak-kanak tersebar di laman sosial.

Ekoran itu, beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis kerana mendakwa Guan Eng mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan kepentingan politik.

Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Ibrahim A. Siahoo turut melahirkan rasa kecewa dengan pihak pengurusan pangsapuri berkenaan yang langsung tidak memaklumkan kepada penduduk berhubung program tersebut.

Malah, katanya, usaha penduduk mendapatkan penjelasan daripada badan pengurusan pangsapuri berkenaan juga gagal selepas mereka enggan memberi maklum balas.

“Sehubungan itu, kita mendesak badan pengurusan serta Kerajaan DAP Pulau Pinang memohon maaf dengan penduduk di sini kerana isu ini telah dipolitikkan sehingga memburuk-burukkan kami,” katanya.

Sumber asal: Menari Lagu GST : Penduduk Tidak Tahu Menahu, Pengunjung Orang Luar

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment