Laporan PAC berkaitan 1MDB: DAP failkan usul tolak

Posted by Kerah Lekung on Friday, 23 March 2018

Laporan PAC berkaitan 1MDB: DAP failkan usul tolak.
DAP failkan usul tolak Laporan PAC berkaitan 1MDB
DALIA ISMAIL  -  March 22, 2018 3:32 pm
Anggota parlimen DAP memfailkan usul menolak laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, usul dikemukakan itu susulan kenyataan dibuat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari semalam yang memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa sebarang laporan di luar PAC adalah “berita palsu”.

“Ini adalah jawapan yang keterlaluan, dan contoh terbaru di mana menteri dan timbalan menteri berlumba-lumba cuba menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak melaporkan pelbagai berita dan perkembangan isu 1MDB.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk menutup isu mengenai 1MDB,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Lim berkata kerajaan harus menyiasat  laporan terkini mengenai 1MDB sejak laporan PAC itu disiapkan pada 2016 tetapi sebaliknya tidak pernah dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

Lim berkata beliau berharap kerajaan akan mengiktiraf keperluan menyegerakan perkara itu dan membenarkan usulnya dibahaskan secepat mungkin.

Pada 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan PAC dan Ketua Audit Negara untuk memulakan siasatan ke atas 1MDB dan berjanji bahawa laporan siasatan berkenaan akan diumumkan.

Bagaimanapun, hanya laporan PAC diumumkan manakala laporan audit diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Dalam laporan PAC pelbagai penyelewengan 1MDB didedahkan seperti pemindahan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, penyingkiran juruaudit dan pemindahan AS$1 bilion kepada syarikat “palsu” Aabar Investments PJS anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).

Anggota pembangkang dalam PAC juga mengesahkan bahawa beberapa maklumat penting telah dikeluarkan daripada laporan akhir jawatankuasa itu.

Bukti baru timbul pada tahun 2016, susulan siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dan beberapa kes di mahkamah Singapura yang menghukum pekerja bank tempatan kerana didapati terlibat dalam pemindahan dana membabitkan 1MDB.

Sumber asal: Laporan PAC berkaitan 1MDB: DAP failkan usul tolak

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment