FITNAH LAMA DIULANG-ULANG, KATA AHMAD SAID

Posted by Kerah Lekung on Monday 26 March 2018

FITNAH LAMA DIULANG-ULANG, KATA AHMAD SAID.
Dalam era kemuncak penggunaan media sosial kini, sesuatu bahan fitnah yang disebar tidak pernah lenyap, dan akan muncul semula, malah boleh ditularkan sekali lagi jika perlu.

Gejala ini kadangkala memaksa penafian berulang kali dilakukan seperti yang dihadapi oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Kembali tular ketika ini ialah fitnah berhubung kenyataan kononnya beliau “menggesa orang Melayu agar bangkit menentang UMNO” yang ditularkan semula menerusi Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Katanya, apa yang ditularkan itu pernah muncul pada pertengahan tahun 2014 apabila beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

“Ketika masih menjadi Menteri Besar, fitnah seperti ini pernah berlaku menerusi media sosial menggunakan nama saya.

“Saya telah menutup akaun Facebook ketika masih memegang jawatan Menteri Besar,” katanya yang juga Ketua UMNO bahagian.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Payoh di Kampung Batu 9, Ibok, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha UMNO bahagian, Rosli Ahmad; Ketua Wanita UMNO bahagian , Datuk Rohani Abdullah dan Pengerusi PDM Payoh, Hassan Ali.

Sementara itu dalam ucapannya Ahmad berkata, semua jentera parti peringkat Parlimen Kemaman telah bersiap sedia menghadapi PRU-14 bagi memastikan kemenangan lebih besar kepada UMNO dan BN.

Sumber asal: FITNAH LAMA DIULANG-ULANG, KATA AHMAD SAID

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment