KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kegagalan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah disebabkan tindakan pembangkang yang mempolitikkannya bagi menjatuhkan kerajaan dipilih secara demokratik.
Perdana Menteri berkata, ia berlaku apabila Edra Energy yang sepatutnya disenaraikan ke Bursa Malaysia pada tahun 2015, gagal berbuat demikian akibat pembangkang mempolitikkan penyenaraian berkenaan.
"Jika Edra Energy berjaya disenaraikan ketika itu, ia mampu meraih antara RM18 bilion hingga RM22 bilion, tetapi ia tidak dapat dilakukan. Akibatnya timbul masalah aliran tunai kepada 1MDB.
"Tetapi saya perlu nyatakan kerajaan sudah mengambil langkah menjalankan rasionalisasi terhadap 1MDB dan ia kini berjalan lancar seperti sekarang, projek Tun Razak Exchange yang akan mempunyai Menara Mulia yang mana apabila siap Ogos ini, bakal menjadi bangunan tertinggi di Malaysia. Kawasan ini juga akan menjadi sebuah pembangunan ikonik.
"Begitu juga Bandar Malaysia yang akan menjadi terminal kepada Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR). Projek pembangunan seluas 200 hektar ini akan menjadi sebuah projek hebat dalam beberapa tahun akan datang. Aset ini akan dijana dan digunakan untuk membayar hutang 1MDB, malah mungkin boleh meraih keuntungan hasil program rasionalisasi ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sesi dialog sempena pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional (NTP) 2017 di sini, sebentar tadi.
Sesi dialog itu dihoskan Penasihat kepada Perdana Menteri untuk NTP, Datuk Seri Idris Jala yang bertanyakan di sebalik banyak kejayaan dibuat kerajaan, namun isu 1MDB masih menjadi kritikan.
Mengulas lanjut, Najib berkata, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) setebal 106 muka surat berhubung siasatan 1MDB, tidak menyebut yang beliau bersalah.
Malah, katanya, laporan itu juga tidak menyebut beliau mencuri duit 1MDB.
"Adakah duit derma daripada Kerajaan Arab Saudi adalah duit 1MDB, jawapannya tidak sama sekali. Maka atas isu ini, saya ingin menjelaskan laporan itu membuat kesimpulan saya tidak membuat kesalahan," katanya.
Najib berkata, laporan PAC sebenarnya membuat kesimpulan 1MDB adalah satu model perniagaan yang asasnya tidak kukuh.
Ini kerana, katanya, suntikan modal daripada kerajaan hanya RM1 juta tetapi 1MDB mempunyai program besar dan membuat pinjaman berjumlah RM42 bilion.
Mengulas tohmahan negara bakal muflis kerana banyak berhutang, Najib yang juga Menteri Kewangan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
Beliau berkata, hutang negara kekal terkawal dan berkadar 50.8 peratus tahun ini, berbanding paras tertinggi iaitu 100.3 peratus pada 1986.
"Sekali pandang, tempat kita adakan program ini, MITEC sudah hebat, justeru tidak mungkin sebuah negara yang bakal muflis boleh bangunkan kompleks seperti ini.
"Jika kita nak lihat hutang negara lain seperti Jepun iaitu 240 peratus dan Amerika Syarikat, 108 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih tinggi dari Malaysia.
"Jadi, tidak logik negara muflis kerana jika benar dakwaan mereka, negara lain yang mempunyai kadar hutang lebih tinggi patut muflis dulu," katanya.
Sumber asal: 1MDB JADI MANGSA POLITIK PEMBANGKANG MAHU JATUHKAN KERAJAAN
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment