SIKAP HIPOKRIT PAKATAN TERSERLAH SELEPAS CUBA PERTIKAI HUKUMAN PENJARA RAFIZI

Posted by Kerah Lekung on Monday, 12 February 2018

SIKAP HIPOKRIT PAKATAN TERSERLAH SELEPAS CUBA PERTIKAI HUKUMAN PENJARA RAFIZI.
Tindakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP mempertikaikan hukuman penjara 30 bulan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli telah menyerlahkan sikap hipokrit mereka.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perbuatan itu membuktikan mereka tidak boleh menerima hakikat apabila pemimpin mereka melakukan kesalahan dan didapati bersalah.

“Namun, telah menjadi adat resam pembangkang negara ini iaitu apabila pemimpin mereka didapati bersalah, mereka akan mengatakan bahawa undang-undang tidak adil.

“Sebaliknya apabila individu yang didapati bersalah itu adalah pemimpin dari Barisan Nasional (BN), mereka akan mengatakan undang-undang tertegak dengan jayanya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kelmarin, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Walau bagaimanapun, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam menerusi portal propembangkang, Malaysiakini menyifatkan mahkamah yang mengendalikan kes jenayah dan sivil itu telah menghantar mesej yang salah kepada masyarakat.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, perbuatan Wan Azizah itu disifatkan sebagai menghina mahkamah kononnya untuk mempertahankan Rafizi.

“Tindakan beberapa orang pemimpin pembangkang yang secara berterusan mempertahankan Rafizi kononnya adalah mangsa kepada undang-undang negara dilihat sebagai satu lagi cubaan menghina institusi kehakiman negara dan memperbodohkan seluruh rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber asal: SIKAP HIPOKRIT PAKATAN TERSERLAH SELEPAS CUBA PERTIKAI HUKUMAN PENJARA RAFIZI

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment