Pelancaran Semula KR1M Khabar Gembira Bagi Rakyat

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 6 February 2018

Pelancaran Semula KR1M Khabar Gembira Bagi Rakyat.
TEMERLOH – Pelancaran semula Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 dengan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan terhadap skim yang lama yang ditamatkan pada September tahun lepas amat menggembirakan penduduk di sini.
Sebelum ini mereka amat menantikan pembukaan semula kedai seperti itu yang disifatkan mampu mengurangkan beban rakyat untuk membeli barangan keperluan asas dan harian ditambah dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Bagi G. Saraswathym, 32, dari Taman Temerloh Jaya, beliau berkata langkah kerajaan melaksanakan semula KR1M 2.0 seperti yang dijanjikan amat melegakan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sebelum ini saya selalu berkunjung ke kedai KR1M untuk membeli barangan asas dan keperluan harian kerana ia lebih murah walaupun kadangkala kita dapati ia tidak berjenama.

“Jadi apabila kerajaan wujudkan semula KR1M 2.0 tetapi dengan pembaharuan yang lebih baik iaitu menawarkan barangan berjenama dengan harga yang murah berbanding kedai lain ia merupakan satu hadiah kepada kami sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran KR1M 2.0 di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang lagi penduduk Ah Tong Hoi, 55, berkata kedai ini sememangnya menjadi sandaran orang ramai yang memerlukan tempat untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

“Kalau dapat (beli) harga yang murah, rakyat terutamanya di kawasan luar bandar tidak akan terbeban dengan kenaikan harga barangan pada masa kini. Lebih-lebih lagi tidak lama lagi sambutan Tahun Baharu Cina, bolehlah kami dapat barang murah sebagai persiapan meraikannya,” katanya.

Sementara itu, Norlaili Fakeh Abd Samad, 68, pula berpendapat harga murah yang ditawarkan di KR1M seharusnya selari dengan kualiti barangan sama yang boleh didapati di pasar raya atau kedai-kedai lain.

“Sebelum ini memang seronok dapat beli harga barang yang murah tetapi kualitinya agak rendah, namun apabila kerajaan mengumumkan kali ini barangan yang berjenama pula yang akan dijual dengan harga murah, ia merupakan satu perkhabaran yang baik.

“Kita semua harus bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan situasi semasa dan berusaha melaksanakan pelbagai projek bagi membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya. – BERNAMA

Sumber asal: Pelancaran Semula KR1M Khabar Gembira Bagi Rakyat

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment