Mahathir bongkak... PAS tak akan berkerjasama dengan PH

Posted by Kerah Lekung on Saturday 27 January 2018

Mahathir bongkak... PAS tak akan berkerjasama dengan PH.
PAS belum menetapkan sebarang keputusan jika situasi 'hung Parliament' berlaku, sama ada akan bersama Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan campuran, atau parti itu akan terus menjadi pembangkang yang kuat di Parlimen.

Bagaimanapun Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zuhdi berkata, dengan sikap angkuh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, parti itu hanya mempunyai dua pilihan sahaja.

"Dengan sikap bongkak Dr Mahathir ini, maka pilihan yang tinggal kepada PAS hanya tinggal dua sahaja, terus kekal menjadi pembangkang utama atau membentuk kerajaan campuran dengan BN," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily.

Zuhdi merujuk kepada tindakan Dr Mahathir yang memperlekehkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang hasrat PAS untuk membentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan selepas PRU14 nanti.

Ujar Zuhdi, kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa hasrat PAS sebagai 'angan-angan Mat Jenin' ibarat menutup pintu kerjasama dengan PAS jika gabungan pakatan pembangkang memperoleh kurang kerusi bagi membentuk majoriti mudah di Parlimen.

"Dr Mahathir seharusnya menyedari dalam senario pertandingan tiga penjuru atau lebih seperti yang bakal berlaku, sukar untuk mana-mana parti atau gabungan politik memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

"Dalam konteks global, keputusan seperti ini kerap berlaku mutakhir ini termasuk di United Kingdom, yang dahulu lebih dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem dua parti.

"Sekiranya keputusan ini terhasil selepas PRU14 nanti, apabila gabungan BN, GAGASAN (PAS) atau PH masing-masing tidak boleh membentuk kerajaan, melainkan bergabung dengan gabungan yang lain, maka sikap angkuh Dr Mahathir ini menandakan beliau sudah tutup pintu dengan PAS.

"Dengan sikap beliau menutup pintu ini, cita-citanya untuk kembali menjadi PM akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin pula," kata Zuhdi lagi.

Justeru menurut Zuhdi, sasaran minima PAS untuk memenangi 40 kerusi ini tidak wajar diperkecilkan.

"Di samping itu, dengan bertanding 130 kerusi PAS akan terus berusaha membuat keputusan upset sehingga memungkinkan PAS boleh mencapai jumlah kerusi majoriti mudah di parlimen.

"Kedua-dua situasi membolehkan PAS membentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan selepas PRU 14 nanti, justeru ia bukanlah angan-angan Mat Jenin seperti yang didakwa," ujarnya.

Sumber asal: Mahathir bongkak... PAS tak akan berkerjasama dengan PH

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment