#undirosak: Mahathir jadi 'senjata makan tuan' buat Pakatan

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 30 January 2018

#undirosak: Mahathir jadi 'senjata makan tuan' buat Pakatan.
Pencalonan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum kelak, terus menerima reaksi negatif daripada kalangan penyokong Pakatan itu sendiri.

Terbaru, kempen tidak mengundi atau merosakkan undi semakin rancak digerakkan di dalam media sosial.

Mereka ini rata-rata adalah penyokong Pakatan yang kecewa dengan perjuangan Pakatan yang dilihat sudah menyimpang daripada matlamat asal mereka.

Penyimpangan ini sampai ke kemuncaknya apabila pemimpin-pemimpin Pakatan sanggup menjilat balik ludah sendiri dengan mengangkat Mahathir dengan Mahathirisme yang selama ini ditentang habis-habisan sebagai ‘top dog’ mereka.

Mahathir memang diharapkan oleh Pakatan untuk meraih undi dari penyokong-penyokong UMNO. Bak kata Presiden Parti Amanah Negara Mat Sabu, ‘hanya berlian dapat memotong berlian’ (only diamond can cut diamond), bekas presiden Umno itulah yang dipertaruhkan untuk menghancurkan Umno.

Umno yang menjadi tunjang Barisan Nasional mesti dikalahkan kalau pembangkang mengidamkan tampuk pemerintahan pusat. Dalam dua PRU yang lepas, kekuatan Umno yang menjadi antara faktor utama menyelamatkan BN.

Tetapi dalam pemerintahannya selama 22 tahun, Mahathir turut membawa bersama bagasi politiknya.

Dakwaan skandal-skandal dan salah lakunya seperti yang menyelubungi tragedi Memali, kerugian forex Bank Negara dan kronisme masih belum ditemukan jawapannya.

Walaupun dewasa ini, kempen undi rosak lebih tertumpu di tiga laman Facebook berbahasa Cina, kemungkinan ia merebak ke laman-laman berbahasa lain memang besar.

Semua orang tahu, ramai ahli akar umbi PKR, termasuk PKR Selangor, masih tidak dapat menerima Mahathir.

Yang menjadi duri dalam daging itu tidak lain dari tuduhan Mahathir terhadap Anwar Ibrahim.

Mahathir tidak pernah meminta maaf atas mana-mana perbuatannya yang lampau, termasuk memenjarakan Anwar. Antara mereka berdua, hanya seorang yang bercakap benar.

Sebenarnya dalam sesuatu sistem demokrasi, tidak membuat pilihan juga merupakan satu pilihan yang perlu dihormati semua. Ini menunjukkan pengundi berkenaan ingin berkecuali dan tidak mahu memihak atau dilihat memihak kepada mana-mana calon atau blok yang bertanding.

Dalam pada itu, dakwaan sesetengah pihak bahawa BN mungkin menjadi dalang kempen ini untuk menggagalkan kemaraan Pakatan ke Putrajaya kurang boleh dipercayai.

Kalau betul penyokong-penyokong Pakatan sanggup mengikut telunjuk BN, masakan BN tidak menyuruh mereka mengundi BN?

Rupanya Mahathir yang dikatakan aset paling bernilai umpama berlian mungkin juga menjadi tanggungan dan igauan paling buruk bagi Pakatan. Ini yang dikatakan senjata makan tuan.

Dengan undi Cina kepada DAP yang mungkin merosot dan undi Melayu yang terbahagi tiga di antara BN, Pakatan dan PAS, Pakatan mempunyai sebab untuk berasa bimbang terhadap kempen undi rosak ini.

Sumber asal: #undirosak: Mahathir jadi 'senjata makan tuan' buat Pakatan

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment