Pakatan bukan BN, saya bukan Najib

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 30 January 2018

Pakatan bukan BN, saya bukan Najib.
Pakatan bukan BN, saya bukan Najib, kata Dr Mahathir
Chan Kok Leong · Diterbitkan pada 30 Jan 2018 3:23PM
Saya tak fikir masa zaman saya, saya tubuhkan 1MDB atau curi duit, jadi, tiada persamaan antara saya dan (Perdana Menteri) Najib Razak, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2018

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata tiada persamaan antara PH dan Barisan Nasional (BN), malah kempen #UndiRosak adalah cubaan untuk menyekat orang muda dari mengundi.

Kempen itu adalah usaha untuk menyekat orang muda dari mengundi. Biasanya, orang muda tak akan undi BN dan akan undi parti baru. Kempen itu kata tiada beza antara Pepsi dan Coca-cola.

"Dan kalau sampai ke tahap itu (pemahaman), ia menunjukkan yang kamu sama sekali tak faham, kerana ada banyak perbezaan.

"Dan saya tak fikir masa zaman saya, saya tubuhkan 1MDB atau curi duit. Jadi, tiada persamaan antara saya dan (Perdana Menteri) Najib Razak. Antara PH dan BN, pun tiada persamaan," kata Dr Mahathir pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir berkata, PH mempunyai reskod prestasi yang baik dan sentiasa khuatir dengan keadaan Malaysia.

Beliau ditanya tentang kempen #UndiRosak yang dimulakan oleh beberapa aktivis.

Mereka yang berada di sebalik kempen itu menyeru pengundi yang tidak berpuas hati supaya tidak mengundi atau merosakkan undi sebagai tanda bantahan terhadap kualiti rendah calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain #UndiRosak, #ProtesPRU dan #GEprotest juga kini trending di media sosial.

Ahad lalu, Perdana Menteri Najib Razak menyelar kempen tersebut kerana ia bercanggah dengan sistem demokrasi di negara ini. Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Dr Mahathir yang jadi perdana menteri selama 22 tahun berkata PH belum lagi membentuk kerajaan, dan manifesto yang akan dibentang kelak adalah berbeza dengan manifesto BN.

Jelas Dr Mahathir, kebanyakan orang muda tidak pernah merasai zaman pemerintahannya.

"Orang muda tak pernah hidup di bawah pemerintahan saya selain Najib. Bagi mereka, Najib ialah satu standard, dan Najib kata semua kerajaan Malaysia macam itu.

"Kalau semua kerajaan Malaysia macam itu, jadi pemberontakan ini mungkin dah berlaku sebelum ini.

Dr Mahathir mengakui terdapat rasa tidak puas hati dengan kerajaan sebelum ini, tetapi ia tidak sampai ke tahap yang berlaku sekarang.

"Jadi, golongan muda ini, yang hanya mengenali rejim Najib, tidak dapat membezakan hari ini dengan masa lampau. Tetapi orang-orang yang lebih tua, tahu. Ia akan mengambil masa untuk menjelaskan kepada orang muda yang ini bukan mengenai Pepsi dan coca-Cola.

"Ini perkara yang sangat serius dan melibatkan masa depan mereka. Maka, kami akan cuba terangkan kepada mereka," kata bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. – 30 Januari, 2018.

Baca jugaPendaftaran HARAPAN: 'Masih tiada jawapan ROS'

Sumber asal: Pakatan bukan BN, saya bukan Najib

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment