Antara MCA dan DAP: Siapa kawan dan lawan?

Posted by Kerah Lekung on Wednesday, 31 January 2018

Antara MCA dan DAP: Siapa kawan dan lawan?.
Dalam kehebohan kemungkinan berlakunya ‘Tsunami Melayu’, ramai parti politik mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh terutamanya parti DAP yang selama ini mengeksploitasi sentimen perkauman cauvinis Cina.

Pelbagai isu bernada perkauman seperti keistimewaan orang-orang Melayu, biasiswa khusus pada orang Melayu, kuota kemasukan universiti awam, Mara, pakaian seragam kebangsaan seperti songkok dan sebagainya pernah, telah dan tidak terlepas dari dieksploitasikan oleh DAP dengan penuh berahi.

DAP telah berjaya untuk menanam dan memupuk perasaan kebencian di kalangan masyarakat Cina terhadap Umno yang selama ini disinonimkan dengan pembelaan orang Melayu dan nilai-nilai kemelayuan khususnya.

MCA pula sebagai rakan seperjuangan Umno dalam Barisan Nasional selalu dikeji dan dihina sebagai barua politik Umno oleh DAP.

Provokasi ini dibuat dengan sengajanya tanpa diberi pertimbangan kepentingan kerjasama Umno, MCA dan MIC yang sebenarnya berusaha memupuk silatulrahim dan mengeratkan perhubungan antara kaum yang telah berjaya menjamin keharmonian dan perpaduan kaum.

Kalaulah MCA selama ini megambil kira later belakang sejarah, peruntukan perlembagaan dan susunan tatasusila politik negara, DAP pula menjadi pakar pemanah api perkauman dan keagamaan untuk terus dilihat dan disokong sebagai juara cauvinisme yang berani melanggar dan membantah perlaksaanaan nilai-nilai kebangsaan dan keagamaan.

Itulah DAP selama ini sehingga mutakhir ini apabila DAP sudah merasai selera kuasa menjadi kerajaan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Nafsu kuasa mereka semakin meningkat sehingga mereka sudah memberahikan kuasa Putrajaya.

DAP sejak kebelakangan ini sudah berani dan angkuh memimpikan kuasa Putrajaya apabila mereka sudah mesra dan berasmara dengan Parti Semangat 46, PAS, PKR, Amanah dan yang terakhir ini parti Pribumi Mahathir Mohamad.

Keangkuhan mereka semakin menjadi dan menonjol apabila mereka berjaya memperalatkan Mahathir sebagai bakal perdana menteri sementara atau “interim” Pakatan.

Itulah kehebatan mainan politik DAP yang semakin tinggi seninya, semakin berani dan semakin besar nafsunya.

Bagi DAP yang berjaya memperalatkan PAS sebagai boneka mereka di Perak pada tahun 2008 sebagai kerajaan campuran yang dikuasai oleh adik-beradik DAP iaitu Nga dan Ngeh yang mempunyai kepentingan perniagaan besar-besaran dan pembalakan hingga di Kelantan, tidak penting siapa menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar asalkan mereka mempunyai kekuatan politik untuk menaikkan atau menjatuhkan Menteri Besar atau Perdana Menteri yang tidak mengikut telunjuk mereka sepertimana dalam kes bekas MB Selangor Khalid Ibrahim.

Setiakawan MCA

DAP jelas mempunyai halatuju politik mereka dan semestinya politik mereka tidaklah seperti politik MCA yang senantiasa menghormati sentimen, suasana dan latarbelakang “real-politic” negara majmuk kita.

Walaupun MCA diperlekehkan, dipersendakan dan diperlawakkan oleh puak DAPist tetapi MCA tidak pernah mengkhianati hubungan setiakawan antara orang Melayu dengan orang Cina khususnya walaupun apabila Umno telah dibubarkan pada tahun 1988 semasa Mahathir menjadi presidennya.

Kalau DAP selama ini mempertikaikan dasar-dasar kerajaan yang membantu masyarakat Melayu yang miskin; pemupukan semangat nasionalisme yang berteraskan dan berasaskan kebudayaan Melayu; penerapan nilai-nilai murni Islam dalam pentadbiran dan sebagai nya; MCA pula terpaksa menjelaskan, memberi justifikasi dan membela segala dasar-dasar yang dipersetujui berlandaskan semangat kolektif dibawah payung Barisan Nasional.

Semakin MCA memberi penjelasan, semakin DAP seronok mempersendakan, mengaibkan dan menanam emosi kebencian masyarakat Cina terhadap MCA.

MCA dipersendakan kerana mendapat sokongan masyarakat Melayu yang menghargai pendekatan politik kita yang patriotik dan bersemangat kebangsaan.

Inilah pengorbanan “real-politic” yang terpaksa diakui oleh MCA yang berpandangan jauh dan bersikap sederhana.

Tiba-tiba dan dalam sekelip mata, DAP pula ingin mengkaburi mata masyarakat Melayu dengan menjelmakan diri sebagai pro-Melayu dan pro-Islam.

Tiba-tiba kita melihat pemimpin-pemimpin DAP (kecuali Lim Kit Siang dan anaknya) memakai baju Melayu, bersarong dan bersongkok dengan sepenuhnya dengan harapan pengundi Melayu akan lupa masa mereka membantah pakaian seragam bersongkok hakim, anggota polis dan sebagainya.

Baru-baru ini Ketua Menteri Lim Guan Eng pula menguar-uarkan peruntukan kerajaan DAP yang lebih dalam pembangunan Islam berbanding dengan zaman pemerintahan BN.

Inilah sandiwara politik DAP semata-mata untuk memancing undi Melayu untuk DAP dan Pakatan Harapan untuk menjadikan ‘Tsunami Melayu’ satu realiti dalam PRU14 ini.

Beza MCA dan DAP ialah, MCA bertindak mengikut nekad kehendak politik dalam memupuk perpaduan dan keharmonian negara dalam isu-isu penerapan nilai-nilai murni Islam serta pemupukan semangat kebangsaan.

Tetapi bagi DAP, segala-galanya adalah mengikut “expediency” rentak politik semasa untuk mendapat kuasa dan pengaruh semata-mata walaupun perlu menelan ludah mereka ke arah Mahathir dan Anwar.

Satu lagi contoh jelas kekasaran DAP ialah cara mereka sekejap berpeluk dan sekejap bertalak tiga dengan PAS. Dulu bulan mewakili hati mereka. Kini bulan dicaci dan dibenci.

Siapakah kawan dan lawan sebenarnya?-29/1/2018

Ti Lian Ker adalah jurucakap publisiti MCA and AJK Pusat MCA

Sumber asal: Antara MCA dan DAP: Siapa kawan dan lawan?

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment