21 peneroka hilang punca pendapatan, Azmin perlu jelas isu kaveat ladang

Posted by Kerah Lekung on Monday, 29 January 2018

21 peneroka hilang punca pendapatan, Azmin perlu jelas isu kaveat ladang.
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa memberi penjelasan tentang pelepasan status kaveat ke atas tanah seluas kira-kira 17 hektar di Ladang Hopeful, Bestari Jaya yang menyebabkan 21 peneroka di kawasan itu kini hilang punca pendapatan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bestari Jaya, Sapari Ahmad Sayuti berkata, akibat pelepasan status itu, tanah yang sebelum ini menjadi pertikaian ekoran pertindihan tuntutan kerana diberi kepada orang luar bukan peneroka sudah dijual kepada syarikat swasta.
 
Menurutnya, pelepasan kaveat yang dilakukan pada 2013 itu pula dibuat tanpa pengetahuan peneroka di ladang terbabit dan hanya mengetahuinya baru-baru ini selepas syarikat swasta yang menjadi pemilik baru tanah mula menebang tanaman kelapa sawit milik peneroka.
 
“Hasil semakan kami di Pejabat Tanah dan Daerah, kami mendapati 21 orang luar yang dikurniakan tanah itu telah menjualnya kepada syarikat swasta selepas status kaveat dilepaskan pada 2013.
 
“Persoalannya kenapa status itu ditarik balik dan kenapa tidak dimaklumkan kepada pihak peneroka? Itu yang Mohamed Azmin kena jawab,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
 
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan), Muhd. Ali Zakaria mahu kerajaan PKR Selangor tampil membela nasib golongan peneroka yang teraniaya.
 
“Tindakan membiarkan peneroka itu kehilangan punca pendapatan hanya membuktikan sikap tidak prihatinan kerajaan PKR Selangor terhadap nasib rakyat.
 
“Sebab itu saya minta Menteri Besar lihat balik perkara ini dan bantu peneroka-peneroka terbabit kerana merekalah yang perlu diutamakan,” ujarnya.
 
Tambah Muhd. Ali, sekurang-kurangnya peneroka terlibat diberikan pampasan atau kawasan lain untuk mencari rezeki dan seterusnya menampung keluarga.

Sumber asal: 21 peneroka hilang punca pendapatan, Azmin perlu jelas isu kaveat ladang

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment