Peruntukan ADUN: PAS Selangor tunggu dan lihat

Posted by Kerah Lekung on Saturday, 27 January 2018

Peruntukan ADUN: PAS Selangor tunggu dan lihat.
SHAH ALAM: PAS Selangor mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali baru-baru ini bahawa pemberian peruntukan kawasan kepada ADUN di negeri ini mengalami kelewatan ekoran masalah teknikal.

Pesuruhjaya negeri, Sallehen Mukhyi berkata pihaknya mengikut rapat perkembangan mengenainya, dan jika didapati wujud diskriminasi terhadap wakil rakyat PAS, pihaknya tidak akan teragak-agak membawa perkara itu ke pengetahuan pihak istana sebagaimana yang ditegaskan seperti sebelum ini. 

"Sekarang ini semua ADUN sebenarnya masih belum dapat peruntukan lagi. Biasanya minggu kedua Januari ia akan turun.

"Kita lihat, kalau sekiranya ADUN lain boleh buat tuntutan tapi ADUN PAS tak boleh buat tuntutan, jadi kita akan bertemu dan minta penjelasan MB.

"Kalau kita puas hati dengan penjelasan MB, okaylah, tak perlu kita jumpa siapa-siapa. Kalau tak puas hati, kemungkinan baru kita pergi ke istana. Sebab semua ini masih lagi ruang lingkup pentadbiran kerajaan negeri. Kita juga adalah wakil rakyat kerajaan (negeri)," katanya kepada Antarapos. 

Menurut Sallehen, kelewatan itu menyebabkan beberapa program ADUN PAS terpaksa dihentikan sementara, ataupun wakil rakyat berkenaan perlu menggunakan sumber kewangan peribadi untuk melaksanakan program yang direncanakan.

Sebelum ini perkara yang sama turut dinyatakan oleh salah seorang Exco PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad.

"Program kita dah mula, ada yang dah buat tuntutan... tapi belum dapat. Ada yang guna duit sendiri sebagai pendahuluan. Kita tunggu sehingga akhir bulan 1 ni macam mana (perkembangan).

"Kelewatan ini, sepatutnya kalau sebuah negeri yang efisien, sepatutnya dah keluar awal. Sebab Januari dah mula program," katanya lagi.

Sebelum ini Sallehen mengesahkan 13 wakil rakyat PAS Selangor tidak memperolehi peruntukan tahunan daripada kerajaan negeri.

Sallehen berkata, beliau dimaklumkan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri bahawa peruntukan tahunan berjumlah RM800,000 kepada wakil rakyat parti itu untuk tahun ini akan dibekukan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan wakil rakyat PAS di negeri itu, sebaliknya kelewatan itu disebabkan masalah teknikal. 

Sumber asal: Peruntukan ADUN: PAS Selangor tunggu dan lihat

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment