INDIVIDU YANG MEMBALING KERUSI DARI TINGKAT ATAS PPR BOLEH DIUSIR

Posted by Kerah Lekung on Friday, 26 January 2018

INDIVIDU YANG MEMBALING KERUSI DARI TINGKAT ATAS PPR BOLEH DIUSIR.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mengusir keluarga atau individu yang bertanggungjawab mencampak kerusi dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor, berkata pihak berkuasa tempatan itu boleh bertindak begitu mengikut Undang-undang Kecil Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kesalahan yang dibuat adalah jenayah dan pelaku akan menerima hukuman yang setimpal.

“Pada masa sama, ketua keluarga juga tidak terlepas daripada tindakan di bawah akta yang ditetapkan,” kata Wan Mohammad dipetik Sinar Harian.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam pada 15 Jan lalu itu, S Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala akibat dihempap sebuah kerusi.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata tindakan tegas perlu diambil.

Beliau juga memaklumkan ia adalah kejadian pertama membabitkan kematian akibat objek yang dibaling dari tingkat atas PPR.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Wan Mohammad berkata pihaknya dalam proses memasang bumbung berjaring di PPR berkenaan.

“Ia akan disiapkan dalam tempoh terdekat dan jaring-jaring berkenaan akan dipasang di lokasi laluan penduduk sebagai pelindung,” katanya.

DBKL pula katanya akan menyita barang-barang penghuni PPR yang diletakkan di koridor termasuk mengedarkan notis peringatan ulangan larangan meletak barang-barang di luar unit masing-masing.

Sumber asal: INDIVIDU YANG MEMBALING KERUSI DARI TINGKAT ATAS PPR BOLEH DIUSIR

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment