Seolah-olah tertekan dengan kontroversi projek terowong dasar laut di negeri ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menghamburkan rasa tidak puas hatinya terhadap media arus perdana.
Ketika sidang akhbar yang berlangsung dalam suasana agak tegang di sini hari ini, Guan Eng turut melabelkan media arus perdana dengan pelbagai gelaran seperti kononnya tidak profesional, tidak beretika dan tidak mempunyai nilai moral.
Rasa tidak puas hati itu disebabkan Guan Eng mendakwa media arus perdana tidak berlaku adil dalam laporan membabitkan kejayaan kerajaan DAP Pulau Pinang serta skandal projek terowong dasar laut.
‘‘Semua ini (laporan berita) adalah tidak profesional dan tidak beretika daripada media Barisan Nasional (BN)... tidak ada nilai moral (sense of morality) dan etika.
‘‘Bila saya cakap macam ini, mereka hanya senyum kerana tak kenal malu, memang tidak kenal malu, tiada etika. Sama ada ini selari dengan etika kewartawanan, mana etika profesionalismenya lagi?’’ katanya.
Sementara itu, beliau turut menghamburkan kemarahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang disifatkannya bertanyakan soalan bodoh selepas mempersoal sama ada dokumen berkaitan projek terowong dasar laut disetem (stamping) atau tidak.
‘‘Menteri boleh tanya stamp (setem) atau tidak? Takkan kita nak jawab soalan sampai peringkat budak-budak macam ini?
‘‘Tetapi sebab menteri tanya kita tidak ada pilihan kita jawab, tentulah setem sebab ini urusan kerajaan negeri. Sebab itu saya kadang-kadang saya tidak mahu jawab tapi Exco suruh jawab kerana mahu tunjuk bagaimana bodoh soalan itu,’’ katanya.
Sementara itu, Guan Eng mengakui kerajaan DAP Pulau Pinang kini tidak pasti sama ada projek terowong dasar laut akan diteruskan seperti dirancang selepas mendakwa disabotaj BN menerusi laporan media yang disensasikan.
Projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai lebih RM6 bilion yang dirancang kerajaan DAP Pulau Pinang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi khususnya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.
Sumber asal: GUAN ENG TERTEKAN , MENGAMUK SALAHKAN MEDIA ISU TEROWONG DAP
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment