BN tangkis berita fitnah dalam tempoh 4 jam…

Posted by Kerah Lekung on Saturday, 27 January 2018

BN tangkis berita fitnah dalam tempoh 4 jam….
Barisan Nasional (BN) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan tempoh maksimum selama empat jam bagi menjawab setiap penularan berita palsu terutama bagi menangkis fitnah yang dilemparkan pembangkang.

"Setiap berita palsu yang sampai dekat kita, kita akan respons dalam tempoh tak sampai empat jam. Kita akan buat pembetulan (terhadap sebarang tuduhan) walaupun tahu ia bukan kerja yang mudah,”kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau menjangka semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gejala ini akan terus meningkat termasuk kemungkinan ada rancangan pihak tertentu untuk menyebarkan berita palsu di saat-saat akhir hingga menyebabkan BN tiada masa untuk memperbetulkan fitnah dan memberi kelebihan kepada mereka.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran dan penyampaian bantuan bersama penduduk di kawasan Parlimen Ketereh di kediamannya di Seri Puri, Bukit Marak, Kota Bharu Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata 300 Ketua Penerangan BN akan mengambil bahagian dalam konvensyen selama dua hari bermula esok Sabtu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang bertujuan memberi maklumat tepat berkaitan beberapa isu seperti Felda, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi dan keselamatan.

Dalam pada itu Annuar berpendapat penguatkuasaan undang-undang terhadap penyebaran berita palsu melalui pelbagai platform media sosial perlu diperketatkan.

Beliau berkata kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak ia merosakkan sistem demokrasi serta ekonomi negara yang akhirnya akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah individu.

"Penyebaran berita palsu ini nampaknya menjadi modal bagi sesetengah pihak untuk merebut kuasa dengan cara tidak beretika. Mereka cuba mempengaruhi rakyat dengan berita tak betul.

"Ada juga penyebaran berita palsu yang bertujuan menakut-nakutkan pelabur dari luar, dengan mendakwa Malaysia (kononnya) akan bankrap dan sebagainya. Tindakan sebegini akan membunuh demokrasi," katanya.

Annuar, yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata kerajaan perlu mengikut jejak langkah beberapa negara luar yang berusaha memperkenalkan undang-undang lebih tegas untuk membendung berita palsu.

Sumber asal: BN tangkis berita fitnah dalam tempoh 4 jam…

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment