Kempen boikot undi kerja penyokong PH: Rahman

Posted by Kerah Lekung on Saturday 27 January 2018

Kempen boikot undi kerja penyokong PH: Rahman.
Kempen Boikot Undi Rosak bukan kerja kotor penyokong kerajaan, tetapi datang dari penyokong PH kerana melihat gabungan empat parti pembangkang itu tidak lagi meyakinkan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata demikian bagi membidas tuduhan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pihak yang memboikot Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) adalah ‘puak’ UMNO-BN.

“Kebanyakan yang rasa tak nak keluar undi bukan menyokong BN, penyokong BN masih mahu BN menjadi kerajaan jadi mereka akan keluar.

“Yang tak akan keluar ini adalah mereka yang meyokong pembangkang tapi delusi sebab pembangkang sudah caca marba sekarang ini, sebab itu ada kempen jangan keluar dan boikot,” katanya selepas menghadiri Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di Perbadanan Filem Kemajuan Filem Nasional (Finas), di Hulu Kelang, Khamis.

Ahli Parlimen Kota Belud itu turut berpendirian bahawa semua rakyat sepatutnya menggunakan hak mereka untuk memilih kerajaan yang dirasakan layak menerusi sistem demokrasi itu.

“Kita nak rakyat keluar mengundi, kita nak mempraktikkan mengundi dan gunakan hak menentukan kerajaan tapi kalau tidak mahu mengundi itu jugak adalah hak.

“Saya tidak suka begitu, saya mahu mereka keluar dan undi BN tapi kalau tak mahu mengundi, saya tidak boleh heret mereka keluar pagi untuk mengundi,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata tindakan memboikot itu hanya akan memberi keuntungan kepada BN sahaja. ,

Malah beliau dalam masa yang sama turut mendakwa bahawa pihak yang memboikot itu adalah orang UMNO sendiri dimana ia adalah strategi dan taktik kotor yang digunakan bagi mempengaruhi rakyat agar tidak keluar mengundi pada PRU nanti.

“Masalahnya UMNO nak cari kemenangan dengan banyak cara dan tipu helah yang mereka akan gunakan, ” dakwannya lagi.

Sumber asal: Kempen boikot undi kerja penyokong PH: Rahman

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment