KUALA LUMPUR - Beberapa ahli politik disyaki menerima habuan tinggi mencecah jutaan ringgit dalam proses pemberian kelulusan kajian projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.
Menurut sumber, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati habuan yang diterima daripada hasil salah laku dan rasuah pemberian kelulusan tersebut bernilai besar.
“Ada ahli politik yang menerima ratusan ribu ringgit malah ada yang mencecah jutaan ringgit melalui ‘jalinan kerjasama’ itu. Setakat ini, kami sedang mengesan bagaimana salah laku itu berlaku dan bagaimana pembayaran itu dilaksanakan.
“Namun kami percaya, itu berkemungkinan berkaitan pemberian dua lot tanah bernilai tinggi yang menjadi cara pembayaran kepada kajian projek mega itu,” katanya di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, sumber terbabit enggan mendedahkan identiti ahli politik yang dipercayai terlibat dalam pembiayaan itu namun tidak menolak kemungkinan mereka itu adalah individu yang berkepentingan dalam projek itu.
Menurutnya, SPRM kini dalam proses untuk merekod keterangan beberapa saksi penting untuk mengukuhkan siasatan.
“Saksi yang akan direkod ini mampu menjawab bagaimana salah laku dan pembayaran itu berlaku,” ujarnya
Tambahnya, beberapa individu penting yang dipercayai terlibat dalam projek itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan itu namun memaklumkan SPRM sehingga kini sudah menyerbu 42 lokasi termasuk syarikat perunding dan agensi kerajaan di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Bagi kami masa untuk siasat. Siasatan kes ini melibatkan banyak isu-isu teknikal yang perlu disiasat secara terperinci untuk melengkap kertas siasatan,” jelasnya.
Sehingga hari ini seramai lebih 76 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Utusan
Sumber asal: SIAPA AHLI POLITIK TERIMA HABUAN JUTAAN RINGGIT DARI PROJEK TEROWONG PENANG ?

{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment