Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didesak agar menjelaskan kepada umum mengenai hubungannya dengan syarikat kontraktor yang dilantik untuk membina terowong dasar laut di negeri itu.
Ini kerana terdapat beberapa persoalan yang bermain di fikiran rakyat mengenai pelbagai isu yang timbul dan cuba disembunyikan oleh Guan Eng sehingga mengancam masa depan penduduk negeri itu.
Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng berkata, Guan Eng dilihat sengaja mengalihkan perhatian media berkaitan isu terowong itu dengan membangkitkan isu derma yang diterima Sekolah Tinggi Yong Peng serta memfitnah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurutnya, skandal pembinaan terowong itu kini disiasat atas dakwaan rasuah selain kontraktor yang dianugerahkan projek itu juga menjadi buah mulut yang berlegar di kalangan rakyat.
"Saya mahu Guan Eng menjawab beberapa isu seperti berdasarkan rakaman video, beliau menganugerahkan projek kepada dua syarikat gergasi dari China iaitu Beijing Urban Construction Group (BUCG) dan China Railway namun kini dia mengubah pendirian apabila syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) kini beralih kepada syarikat fesyen tempatan, Voir Holdings Bhd.
"Projek terowong ini melibatkan kepentingan awam namun kini syarikat kontraktor yang dilantik adalah syarikat pakaian jadi kenapa Guan Eng tidak memaklumkan kepada umum biarpun telah didedahkan serta kenapa beliau masih mempertahan syarikat itu?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, prinsip Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) yang dilaksanakan di Pulau Pinang sudah mati sekiranya Guan Eng gagal memberi penjelasan berkaitan hubungannya dengan Voir Holdings serta tidak membuktikan penyata akaun yang telus berkaitan projek itu.
"Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Guan Eng harus menjadikan semua traksaksi itu telus dan membuktikan yang tiada sebarang unsur rasuah dalam pembinaan terowong itu.
"Pada masa sama beliau harus memastikan projek itu menepati tahap keselamatan agar seluruh negeri tidak berdepan bencana sekiranya ia dilaksanakan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Sumber asal: HUBUNGAN SYARIKAT KONTRAKTOR PROJEK TEROWONG DENGAN KERAJAAN DAP DIPERSOAL
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment