MENTERI tidak lagi dibenar membawa pasangan dan rombongan penuh ketika lawatan singkat ke luar negara kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.
Dalam sebuah forum yang dianjurkan oleh Sinar Harian, Azmin dilaporkan berkata, arahan baru itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan negara.
"Kita telah membuat keputusan bahawa jika menteri-menteri pergi ke luar negara, mereka tidak dibenarkan bawa pasangan kecuali lawatan kerja melebihi tujuh hari," katanya.
Azmin berkata, sekiranya lawatan kerja menteri hanya satu atau dua hari, mereka tidak boleh membawa isteri, dan kerajaan tidak akan menanggung lebihan kos berkenaan.
Menurut Azmin lagi, menteri juga tidak boleh membawa seluruh rombongan, dan hanya dibenar membawa dua orang pegawai.
"Inilah budaya kerja kita. Kita nak pergi kerja bukan bercuti, membeli belah atau bermain golf," katanya.
Menurut Azmin, di bawah pentadbiran lalu, adalah menjadi perkara biasa apabila menteri-menteri tiba 3 hari lebih awal sebelum bermulanya persidangan kerja, dan pulang tiga hari selepas ia selesai.
Katanya, menteri-menteri akan pergi bermain golf, manakala isteri-isteri pula pergi membeli belah.
"Kini mereka perlu tiba pada hari persidangan bermula dan pulang pada hari persidangan selesai," katanya.
"Inilah jaminan kami dari kerajaan untuk menjimatkan wang, kerana ini adalah wang rakyat," tambahnya.
Sumber asal: Menteri tidak lagi dibenar bawa pasangan dalam lawatan singkat ke luar negara
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment