MALAYSIA BAHARU TAK PEDULI DASAR LINDUNGI ISLAM & MELAYU

Posted by Kerah Lekung on Monday, 25 June 2018

MALAYSIA BAHARU TAK PEDULI DASAR LINDUNGI ISLAM & MELAYU .


Malaysia 'baru' hari ini didukung oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan kelompok yang rata-rata tidak lagi mempedulikan dasar negara melindungi agama Islam dan Melayu tetapi sebaliknya menuju kepada sekularisme total.

Ini, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, boleh dilihat dengan semakin ramai yang mempertikaikan dasar-dasar itu secara terbuka sehingga Melayu dan Islam kini berada di persimpangan.

Menurutnya, jika dulu perkara berkenaan dianggap tidak mungkin berlaku, tetapi segalanya dilihat bergerak pantas ke arah itu, lebih-lebih lagi selepas Umno tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kelompok yang rata-ratanya tidak mahu negara menghabiskan masa, kekayaan dan tenaga utk sesuatu agama atau mana-man kaum lagi.

"Kata mereka, kalau tidak bubar Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), majlis-majlis agama Islam, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan institusi Melayu lain pun, negara tidak patut membiayai mereka lagi.

"Ini permulaan kepada sekularisme total di negara kita. Bahasa kebangsaan pun diuji apabila bahasa Mandarin mula diperkenalkan dalam urusan rasmi," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Menurut beliau, ada yang bertanya, sama ada pemimpin Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan hari ini seperti ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendiamkan diri.

“Saya jawab beliau tak boleh berbuat apa-apa kerana kekuatannya bukan atas parti Melayu-Islam lagi.

“Anwar dulu lain dengan Anwar sekarang,” kata Ahmad Shabery yang pernah berdebat secara terbuka di televisyen dengan bekas ketua pembangkang itu.

“Begitu juga Tun M (Dr Mahathir Mohamad). BERSATU adalah parti minoriti. Dulu beliau lantang bercakap tentang Melayu kerana kekuataannya berdiri atas platform Umno. Realiti sekarang, beliau bukan lagi orang Umno dan kerajaan Umno,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, ini bermakna semua institusi Melayu dan Islam yang sebelum ini menikmati perlindungan dan pembiayaan negara perlu menerima hakikat ini dan membuat persiapan untuk menghadapi era baru ini.

Katanya, era yang ditentukan oleh rakyat dan mereka perlu menghormati kemahuan rakyat selepas keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu yang tidak lagi memihak kepada Umno.

“Bunyinya pedih, tetapi ia adalah realiti yang mesti diterima.

“Mempertahankan apa yang diamalkan sebelum ini adalah seperti menolak bas yang rosak mendaki bukit yang tinggi. Sulit dan amat mencabar.

“Ini adalah cabaran Umno dan sesiapa yang ingin menggalas tanggungjawab ini. Bukan sahaja memerlukan keupayaan mental dan fizikal tetapi asas ideologi yang kuat,” katanya.

Ahli MT Umno itu turut mengulas cadangan sesetengah pihak supaya Umno membuka keahlian parti kepada bukan Melayu jika mereka mahu memenangi pilihan raya seterusnya.

“Kalau begitu, Umno akan jadi seperti PKR. Mungkin boleh menang, tetapi pemimpin yang sekuat manapun Melayu atau Islamnya terpaksa menyembunyi isi hatinya kerana platform Umno bukan lagi platform Melayu-Islam. Sama seperti Anwar dan Dr Mahathir tadi.

“Melayu-Islam hari ini berada di persimpangan. Dulu banyak bergantung kepada Umno. Masa depan Umno pula banyak bergantung kepada siapa pemandunya yang akan ditentukan pada 30 Jun ini nanti,” katanya lagi.
Sumber asal: MALAYSIA BAHARU TAK PEDULI DASAR LINDUNGI ISLAM & MELAYU

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment